Sunday, September 25, 2005

Kem Generasi Soleh KAFA

Ikatan Pengkajian Islam Pahang (IKATAN) dengan kerjasama Kelas Fardhu Ain Surau Al-Makmur, Indera Mahkota 2 telah berjaya menganjurkan program Kem Generasi Soleh. Kem yang bertemakan "Generasi Soleh, Ummah Gemilang" ini telah diadakan di Sanubari Beach Resort, Pantai Sepat pada 15-17 haribulan April 2005 (Jumaat hingga Ahad). Kem selama 3 hari 2 malam ini dianjurkan oleh Persatuan Ibubapa dan Guru Kelas Fardhu Ain Surau Al-Makmur (KAFA) dan dibantu oleh 25 orang fasilitator dari Facilitator Team, UIAM Kuantan dan Ikatan Pengkajian Islam Pahang (IKATAN).

Kem Generasi Soleh ini telah disertai oleh seramai 150 orang pelajar- pelajar Kelas Fardhu Ain Surau Al-Makmur, I.M. 2 yang terdiri daripada kanak-kanak sekolah rendah berumur 8-11 tahun.

Setelah pelajar-pelajar diberi taklimat dan dibahagikan mengikut kumpulan, Latihan Dalam Kumpulan (LDK) 1 taa’ruf dijalankan. Pada pagi Sabtu, LDK 2 diteruskan dengan modul keutuhan kumpulan. Manakala LDK 3 pula diteruskan dengan modul membina piramid tentang konsep saya dan pencipta, masyarakat dan ibu bapa. Sementara itu, LDK 4 pula memberi fokus pada cerita- cerita menarik tentang kejadian Alam dan Pencipta-Nya. Dalam LDK 5 pula adik-adik peserta bercerita tentang kaitan cerita-cerita menarik dengan Al-Qur’an.

Pada malam Sabtu pula telah diadakan Malam Jana Taqwa dimana pelajar-pelajar ini diminta membuat persembahan secara berkumpulan yang banyak memberi pengajaran yang baik. Acara ini dipertandingkan secara berasingan antara pelajar–pelajar puteri dan putera, dan diadili oleh beberapa orang Ustazah dari Kelas Fardhu Ain Surau Al- Makmur. Antaranya ialah nasyid, pentomin, lakonan dan sebagainya.

Pada pagi Ahad, Explorasi Al-Qur’an berjaya disempurnakan. Meskipun pelajar-pelajar tampak keletihan namun kepuasan terserlah apabila mereka berjaya menamatkan permainan itu. Permainan itu bertujuan untuk mendekatkan pelajar-pelajar ini dengan kebenaran Al-Qur’an.

Majlis penutup dirasmikan oleh YDP Ikatan Pengkajian Islam Pahang (IKATAN), Muhammad Hisyamudin bin Baharudin dan dihadiri oleh guru besar KAFA Surau Al-Makmur, Ustazah Norazlina dan 8 orang ustazah yang lainnya. Diharap program seumpama ini dapat diteruskan lagi agar kanak-kanak seawal 7 tahun didedahkan dengan kasih sayang Allah.
Disediakan oleh Nor Ezmas Mahno

Tuesday, August 02, 2005

Kembara IPT 2005

Melanjutkan pengajian ke universiti menjadi impian semua pelajar lepasan sekolah. Universiti yang disimbolkan sebagai 'menara gading' jelas melambangkan ketinggian ilmu yang disuburkan melalui budaya-budaya yang menjurus kepada peningkatannya. Maka, tidak hairanlah beribu-ribu pelajar lepasan sekolah berhasrat untuk mengecapi nikmat menuntut ilmu di institusi pengajian tinggi yang menyediakan segala kemudahan untuk melahirkan para intelek dan ilmuan masa hadapan.

IKATAN Pengkajian Islam Pahang melalui Biro Alumni Menara turut terlibat dalam menyemarakkan semangat pelajar-pelajar lepasan SPM untuk melanjutkan pengajian ke universiti. Usaha gigih ahli-ahli IKATAN semasa peperiksaan SPM 2005 telah terbalas dengan keputusan yang cemerlang. Justeru, kesungguhan menuntut ilmu yang tergambar melalui keputusan peperiksaan mereka harus diteruskan ke peringkat yang lebih tinggi lagi; universiti.

Dengan inisiatif ahli-ahli IKATAN : Faizal Nizam, Aziz, Aiezatt dan Hafizuddin maka satu program telah dianjurkan dan dinamakan Kembara IPT 2005. Program ini telah disertai oleh seramai 44 orang peserta yang terdiri daripada 41 orang ahli IKATAN lepasan SPM 2005 dan 3 orang exco IKATAN. Kesemua peserta Kembara IPT 2005 adalah peserta MENARA-PERIBADI 2005 dan KUFI 2005. Kembara IPT 2005 ini merupakan satu lagi program 'follow-up' yang teratur kepada peserta-peserta MENARA-PERIBADI 2005.

Kembara selama 2 hari 1 malam ini telah diadakan pada 26 dan 27 April 2005. Kembara telah melawat beberapa universiti utama negara seperti Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak, Universiti Malaya (UM) Kuala Lumpur, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, dan Pusat Matrikulasi UIAM Petaling Jaya. Selain itu, Kembara turut melawat Putrajaya sebagai lawatan tambahan. Peserta Kembara telah menginap di Kompleks Anjung Rahmat, Gombak.

Ketika Kembara melawat ke setiap universiti, para peserta telah menghadiri sesi taklimat dan penerangan mengenai universiti tersebut dari segi syarat kemasukan, program pengajian yang ditawarkan, kemudahan-kemudahan yang disediakan, dan lain-lain lagi. Para peserta juga turut dibawa melawat ke sekitar kampus terutama perpustakaan dan fakulti-fakulti tertentu. Para peserta yang jelas berpuas hati dengan maklumat yang diterima sangat bersemangat untuk melanjutkan pengajian ke universiti.

Lawatan ke Pusat Matrikulasi UIAM PJ merupakan destinasi yang paling ditunggu-tunggu. Ini disebabkan kebanyakan peserta Kembara menyimpan impian untuk menjadi pelajar UIAM selepas zaman persekolahan. Justeru, sesi taklimat di Pusat Matrikulasi UIAM PJ digunakan dengan sebaik-baiknya untuk mendapatkan maklumat terkini dan peluang-peluang pengajian di pusat tersebut.

Pada sebelah malamnya telah diadakan Majlis Pelancaran Alumni MENARA IKATAN. Pelancaran ini telah disempurnakan oleh Sdr. Mohamad Raimi Ab. Rahim yang merupakan Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM). Dalam ucapannya, Sdr. Raimi telah memberikan ransangan dan motivasi yang kuat kepada peserta Kembara supaya sentiasa menjunjung ketinggian ilmu dan berusaha mendalami seberapa banyak ilmu yang ada di dunia ini. Ini disebabkan hanya ilmu lah yang boleh membezakan seseorang individu dengan individu yang lain dan dalam masa yang sama ilmu lah akan akan menjadi penyuluh dan panduan hidup.

Sdr. Hafizuddin yang merupakan salah seorang peserta menganggap program Kembara ini sangat relevan dan tepat pada masanya. Dia yang sebelum ini agak berbelah bahagi samada memilih untuk memohon ke Matrikulasi Kementerian atau pun Pusat Matrikulasi UIAM sudah boleh menarik nafas lega. Beliau bertekad untuk menjadi pelajar Matrikulasi Ekonomi dan Sains Pengurusan di Pusat Matrikulasi UIAM dan bercita-cita untuk menjadi seorang akauntan.

Seorang lagi peserta, Sdr. Tajul Ariff Musa memang sangat berharap untuk memasuki ke universiti. Ini adalah bagi meneruskan tradisi keluarganya yang rata-rata berpeluang belajar di universiti. Sdr. Aiezatt pula yang sudah menerima tawaran ke Matrikulasi Kementerian menyifatkan Kembara ini telah membuka mindanya dengan lebih luas kerana sebelum ini beliau agak ketinggalan dalam mendapatkan maklumat mengenai IPT.

Faizal Nizam pula menyatakan yang beliau dan kawan-kawan sudah bersedia dan tidak sabar-sabar lagi untuk menjejakkan kaki ke Menara Gading. "Kami sangat bersedia kerana segala maklumat dan realiti sebenar cabaran di IPT telah kami ketahui semasa menyertai program MENARA yang lalu. Kini, kehangatan semangat yang membara ini tidak boleh dibendung lagi".

IKATAN mendoakan semua ahli-ahli yang akan melanjutkan pengajian ke universiti agar mereka akan menggunakan kesempatan yang ada ini dengan sebaik-baiknya. Jadilah seorang mahasiswa yang mementingkan aspek keilmuan dan menjunjung tradisi keintelektualan. Ilmu itu kelak yang akan merubah nasib anda dan masyarakat keseluruhannya.

Usrah Gabungan Siri 1

Pada 9 April 2005 yang lalu, IKATAN telah menganjurkan Usrah Gabungan Siri 1 untuk sesi 2005 ini bertempat di Sekretariat IKATAN. Usrah Gabungan (UG) merupakan siri-siri pertemuan semua ahli IKATAN dengan pengisian tarbiyah yang disediakan. Sesungguhnya, program seumpama ini adalah sangat penting kepada ahli-ahli IKATAN sebagai memastikan pengisian tarbiyah dan kerohanian dapat disediakan untuk kebaikan dan manafaat ahli-ahli.

Pada UG1 yang lalu, IKATAN telah menjemput Ybhg Ustaz Azhar bin Muhammad. Ustaz Azhar merupakan mantan exco Dakwah dan Tarbiyah ABIM Pahang dan sekarang bertugas sebagai pensyarah di IKIP Kuantan. Dalam UG1 ini, ustaz Azhar telah membentangkan tajuk "Kepentingan Tarbiyah Dalam Gerakan Islam". Tajuk ini sangat sesuai dikupas dalam UG disebabkan pemahaman asas kepada gerak kerja menyebarkan agama Islam harus berpaksikan tarbiyah sangat ditekankan dalam IKATAN itu sendiri.

Dalam pembentangannya, ustaz Azhar antara lain menyebutkan bahawa realiti dan cabaran yang dihadapi umat Islam sekarang adalah sangat berat dan memerlukan pertahanan rapi. Cabaran yang dilihat ke atas struktur sosial masyarakat telah menyebabkan semacam budaya baru telah meresap dalam anggota masyarakat khususnya anak-anak muda. Mereka lebih selesa mengambil model dunia barat sebagai panduan mereka. Cara hidup berhibur yang keterlaluan menjadikan anak muda terus hanyut dalam dunia keseronokan dan sedikit sebanyak melupakan tanggung jawab mereka kepada agama.

Cabaran yang besar turut dihadapi dalam aspek pemikiran Islam. Pelbagai aliran pemikiran yang sudah mula meresap dan berakar umbi dalam masyarkat adalah sangat membimbangkan. Aliran pemikiran Islam Liberal, ajaran sesat, gerakan feminisme dan lain-lain telah mewujudkan suasana baru terhadap pemahaman masyarakat terhadap agama Islam. Sudah tentulah, pemikiran yang menjurus kepada ajaran agama yang longgar menjadi pilihan orang kebanyakkan.

UG1 ini telah memberikan sedikit gambaran yang sangat berguna kepada ahli-ahli IKATAN yang hadir. Perbincangan selanjutnya berkisar di sekitar isu-isu semasa khususnya aliran pemikiran Islam liberal. Ustaz menegaskan bahawa pemikiran Islam liberal adalah serius dan membawa kesan buruk yang tersendiri. ajaran yang dianggap sebagai Islam tanpa syariat dan cuba menyama ratakan semua agama ini perlu diberikan perhatian supaya tidak menular dalam pemikiran generasi muda.

Perkampungan Menara Gading 2005

"Kita bertemu dihari ini..Di perkampungan Menara Gading..Kita menjadi saksi..Berhimpunnya anak-anak negeri...Membawa bersama harapan ibu bapa..Mencari secebis ilmu..Buat bekalan di dada..Dalam mencari keredhaanNya......"

Begitulah petikan lirik lagu yang dinyanyikan oleh para peserta Perkampungan Menara Gading 2005 anjuran IKATAN yang telah sempurna dilaksanakan pada 26-27 Februari 2005 yang lalu. Sesungguhnya, lagu tema yang dialunkan bersama-sama itu telah menguatkan ukhuwwah sesama peserta seterusnya menguatkan tekad mereka untuk melanjutkan pengajian ke universiti.

IKATAN sekali lagi seperti tradisi tahun-tahun sebelum ini, mengambil langkah proaktif untuk menganjurkan Perkampungan Menara Gading (MENARA) 2005. MENARA kali ini sedikit istimewa kerana dinamakan juga sebagai 'Persediaan Ke Taman Ilmu dan Budi (PERIBADI)'. MENARA-PERIBADI 2005 dianjurkan dengan kerjasama Faci Team IIUM Kuantan. Program tahun ini telah dilaksanakan di Kampus UIAM Kuantan.

Seramai 96 orang peserta telah menyertai MENARA-PERIBADI 2005 yang terdiri daripada pelajar-pelajar lepasan SPM 2004 yang lalu. Kebanyakan peserta adalah merupakan bekas pelajar SMA Al-Ihsan Kuantan, SMK Tok Sira Kuantan, SABS Temerloh, Sekolah Alam Shah, SMAP Kajang, dan beberapa sekolah lain. Kesemua peserta MENARA-PERIBADI 2005 mempunyai ppotensi besar untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi selepas persekolahan.

MENARA-PERIBADI 2005 yang dianjurkan IKATAN dengan kerjasama Faci Team IIUM Kuantan ini turut dibantu oleh Biro PEMBINA dan Biro Latihan dan Pembangunan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM). Seramai 13 orang fasilitator terlibat sebagai pemudah cara program yang diketuai oleh gandingan Dino-Fendi-Jep. Fasilitator-fasilitator yang terlibat juga telah memberikan kerjasama yang sangat baik bagi memastikan keberkesanan program pada tahun ini adalah lebih baik daripada tahun-tahun sebelumnya.

Antara pengisian MENARA-PERIBADI 2005 ialah penerangan mengenai bantuan pembiayaan pendidikan di IPT yang telah disampaikan oleh pegawai MARA dan Petronas. Sesi-sesi LDK juga turut diadakan bagi menyampaikan input-input berguna kepada peserta. Tidak dilupakan aktiviti kerohanian seperti solat berjemaah, tazkirah, wirid dan zikir, serta qiyamullail juga diterapkan dalam program kali ini. Aktiviti fizikal juga dilaksanakan seperti riadah bermodul pada sebelah petang yang telah berjaya menambat hari para peserta.

Menurut salah seorang peserta bernama Faizal Nizam, beliau menyifatkan MENARA-PERIBADI 2005 adalah satu program yang sangat bermakna kerana ianya sarat dengan input-input yang berguna dan sangat-sangat diperlukan olehnya untuk menghadapi realiti kehidupan di kampus nanti. Beliau turut menyarankan supaya diadakan program lanjutan kepada peserta MENARA-PERIBADI 2005 dalam tempoh beberapa bulan sebelum mereka menjejakkan kaki ke menara gading.

Seorang lagi peserta, Abdul Aziz Abdul Rahman pula menganggap penyertaannya di dalam program ini sedikit sebanyak telah menghilangkan kerisaunnya mengenai kos pembiayaan pengajian semasa di kampus IPT. Dengan penerangan yang telah diberikan, beliau lebih yakin untuk menjadi seorang yang bergelar mahasiswa kelak.

Seorang peserta wanita, Ashshakirin pula berkata, "memang menjadi keinginan saya untuk mengisi masa cuti panjang selepas SPM dengan aktiviti yang berfaedah. Selepas mengetahui tentang program ini saya tidak berfikir panjang untuk mendaftarkan diri. Malah, saya mengajak kawan-kawan yang lain untuk turut serta".

Perkampungan Menara Gading yang diilhamkan oleh PKPIM pada tahun 1996 telah mencetuskan satu fenomena baru di kalangan bakal mahasiswa. Kejayaan penganjuran MENARA (asalnya disebut PMG) adalah bergantung kepada tekad dan komitmen para peserta untuk menjejakkan kaki ke menara gading dengan keyakinan. Pendedahan dan pengisian mengenai realiti kampus yang diterapkan dalam ceramah dan modul telah menghasilkan sejumlah mahasiswa baru yang bertul-betul bersedia untuk menghadapi cabaran di IPT.

IKATAN mengucapkan selamat maju jaya kepada semua peserta MENARA-PERIBADI 2005 yang akan melanjutkan pengajian ke IPT samada dalam dan luar negara. Diharapkan agar segala pengalaman yang diterima akan menjadi bekalan berguna di kampus kelak.

"Sahabat....Kita bersama membina, harapan dan cita-cita, menjadi insan yang bertaqwa....Menara.....menjadi titik bermula, ukhuwwah sesama kita, untuk berbakti pada semua...Kerana cinta pada yang esa..kerana ukhuwwah kita bersama....."

Monday, August 01, 2005

Barisan Kepemimpinan IKATAN 2005

Berikut adalah senarai barisan kepemimpinan IKATAN untuk sesi 2005 :-

Yang Di Pertua : Muhammad Hisyamudin b. Baharudin
Setiausaha Agung : Shamsidar bt. Salehuddin
Penolong Setiausaha : Norazereena bt. Aluyi
Bendahari : Sahrol Azmi b. Termizi

Biro IPT
Farzana bt. Elias (Ketua)
Abdul Ghaffar b. Abdul Rahman
Nurul Azni bt. Ibrahim

Biro Sekolah
Najmina bt. Md. Isa (Ketua)
Nor Ezmas bt. Mahno
Syahira bt. Muhammad

Kursus Asas Fasilitator IKATAN (KUFI 2005)

Ikatan Pengkajian Islam Pahang telah mengambil inisiatif untuk menganjurkan satu program yang dinamakan Kursus Asas Fasilitator IKATAN atau singkatannya KUFI 2005. KUFI 2005 telah berjaya dilaksanakan pada 20 Mac 2005 (Ahad) di Dewan Tapak Ekspo, Taman Pertanian Indera Mahkota, Kuantan. Program sepanjang hari ini telah bermula jam 8.00 pagi dan berkahir jam 6.00 petang.

KUFI 2005 telah dihadiri oleh seramai 86 orang peserta yang telah dikendalikan oleh 7 orang urusetia. Peserta-peserta yang menyertai KUFI 2005 terdiri daripada pelajar-pelajar KUKTEM, KIPSAS, POLISAS, dan peserta MENARA-PERIBADI 2005.


Bagi menjayakan KUFI 2005 yang julung-julung kali dianjurkan oleh IKATAN, pihak Biro Latihan dan Pembangunan (BLP) dan PEMBINA Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia
(PKPIM)
telah diundang ke Kuantan untuk membuat pengisian. Sesi kursus ini telah dikendalikan oleh Sdr. Dino dan Sdr. Fahmi daripada BLP PKPIM. Turut hadir ke KUFI 2005 ialah Sdr. Azwiralbukhairi Ab. Aziz yang merupakan Setiausaha Agung PKPIM. Beliau telah menyampaikan ceramah motivasi yang bertajuk "Generasi Muda dan Gerak Kerja Sukarelawan".

KUFI 2005 menumpukan kepada pengisian asas untuk menjadi seorang fasilitator. Peserta telah didedahkan dengan konsep sebenar fasilitator mengikut tafsiran PKPIM. Peserta juga diberikan penerangan tentang perjalanan sesebuah program motivasi dan bagaimana seorang fasilitator itu dapat memainkan peranannya dengan berkesan. Peserta juga kemudiannya diuji dengan aktiviti 'role-play' bagi memastikan peserta dapat merasai realiti sebenar menjadi seorang fasilitator. Sesi kursus ini diakhiri dengan latihan menganjurkan sesebuah program yang meliputi perancangan teknikal pengurusan serta pengisian yang sesuai dengan program.

KUFI 2005 juga menekankan aspek kekuatan kerohanian di kalangan peserta. Justeru, IKATAN telah menekankan solat jemaah dan amalan berdoa dalam kursus pada kali ini.
Hal ini sangat penting supaya fasilitator yang dilatih ini akan mempunyai kekuatan rohani yang mantap sebagai bekalan mereka apabila turun ke masyarakat nanti.

Semasa sesi penutup, Sdr. Muhammad Hisyamudin yang merupakan YDP IKATAN telah
mengucapkan penghargaan kepada peserta yang hadir ke KUFI 2005. Sdr. Hisyam kemudiannya menyeru semua peserta KUFI 2005 supaya terus bersama-sama IKATAN sebagai fasilitator kerana IKATAN sering diundang untuk menganjurkanprogram-program motivasi di sekolah-sekolah mahupun program yang dianjurkan oleh IKATAN sendiri.

Latar Belakang IKATAN

Pengenalan
Ikatan Pengkajian Islam Pahang (IKATAN) adalah sebuah pertubuhan peringkat pelajar dan generasi muda di negeri Pahang. IKATAN telah ditubuhkan pada 1986 dan didaftarkan secara rasmi dengan nombor pendaftaran PPP/PHG952/86. Sehingga sekarang IKATAN terus kukuh dan komited menjalankan aktiviti-aktiviti yang bermanafaat kepada pelajar-pelajar dan generasi muda di negeri Pahang Darul Makmur.

IKATAN kini terus kekal dalam usaha melahirkan generasi pelajar yang mempunyai kualiti keinsanan yang bersepadu bagi menghadapi cabaran semasa. IKATAN akan berusaha untuk menjadi wadah pelajar paling berpengaruh, mampu menyelaraskan pergerakan pelajar Islam serta menjadi jurubicara yang unggul dan dihormati.

Objektif

  • Menjadi badan yang mewakili pelajar-pelajar Islam di negeri Pahang ke arah merealisasikan cita-cita dan idealisme Islam yang komprehensif.
  • Menganjurkan aktiviti-aktiviti yang bermanfaat kepada golongan sasaran dan anggota masyarakat.
  • Mengeratkan tali persaudaraan di antara semua pelajar Islam negeri Pahang.
  • Menyediakan ruang untuk pelajar-pelajar Islam negeri Pahang mengembangkan potensi, bakat, kepemimpinan dan idealisme yang bermanafaat.

Gerak Kerja

  • Kursus Kemahiran
  • Bengkel Profesionalisme
  • Kumpulan Pemikir Muda
  • Khemah Ibadah Pelajar Islam
  • Program Khidmat Masyarakat
  • Nadwah Kepemimpinan
  • Konvensyen Mahasiswa Islam
  • Mukhayyam Ukhuwwah
  • Aktiviti Kerohanian
  • Himpunan Anak Darul Makmur

Kumpulan Sasaran

  • Pelajar-Pelajar IPTA dan IPTS seluruh negeri Pahang
  • Pelajar-Pelajar Sekolah Menengah seluruh negeri Pahang
  • Belia dan Beliawanis
  • Semua Generasi Muda secara umum

Keahlian

Keahlian terbuka kepada generasi muda berusia 15 tahun ke atas.

Hubungan Luar

IKATAN merupakan badan gabungan kepada Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) bagi menyemarakkan aktivisme, mengukuhkan intelektualisme dan menyuburkan idealisme mahasiswa di peringkat kebangsaan.

IKATAN juga menjadi badan gabungan kepada Global Peace Mission Malaysia (GPM) bagi melibatkan diri dengan misi kemanusiaan di peringkat sejagat dan antarabangsa.

Rakan Seangkatan

  1. Kesatuan Pelajar Islam Perak (KIPIP)
  2. Persatuan Pembimbing Pelajar Islam Kelantan (PPIK)
  3. Kumpulan Pengajian Islam Melaka (KPIM)
  4. Kesatuan Pelajar Islam Johor (KPIJ)
  5. Persatuan Kebajikan dan Pendidikan Islam Wilayah Persekutuan dan Selangor (PEPIAS)
  6. Persatuan Pembimbing Pelajar Islam Pulau Pinang (PEMBIMBING)
  7. Persatuan Pelajar Islam Muslim SAbah (PERPIMS)
  8. Persatuan Kebajikan Pelajar Islam Sarawak (PERKEPIS)
  9. Kesatuan Pembimbing Insan TErengganu (KEPITAR)
  10. Persatuan Siswazah Darul Aman (PERSIDA)
  11. Persatuan Pendidikan Islam Negeri Sembilan (PPINS)