Monday, August 01, 2005

Kursus Asas Fasilitator IKATAN (KUFI 2005)

Ikatan Pengkajian Islam Pahang telah mengambil inisiatif untuk menganjurkan satu program yang dinamakan Kursus Asas Fasilitator IKATAN atau singkatannya KUFI 2005. KUFI 2005 telah berjaya dilaksanakan pada 20 Mac 2005 (Ahad) di Dewan Tapak Ekspo, Taman Pertanian Indera Mahkota, Kuantan. Program sepanjang hari ini telah bermula jam 8.00 pagi dan berkahir jam 6.00 petang.

KUFI 2005 telah dihadiri oleh seramai 86 orang peserta yang telah dikendalikan oleh 7 orang urusetia. Peserta-peserta yang menyertai KUFI 2005 terdiri daripada pelajar-pelajar KUKTEM, KIPSAS, POLISAS, dan peserta MENARA-PERIBADI 2005.


Bagi menjayakan KUFI 2005 yang julung-julung kali dianjurkan oleh IKATAN, pihak Biro Latihan dan Pembangunan (BLP) dan PEMBINA Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia
(PKPIM)
telah diundang ke Kuantan untuk membuat pengisian. Sesi kursus ini telah dikendalikan oleh Sdr. Dino dan Sdr. Fahmi daripada BLP PKPIM. Turut hadir ke KUFI 2005 ialah Sdr. Azwiralbukhairi Ab. Aziz yang merupakan Setiausaha Agung PKPIM. Beliau telah menyampaikan ceramah motivasi yang bertajuk "Generasi Muda dan Gerak Kerja Sukarelawan".

KUFI 2005 menumpukan kepada pengisian asas untuk menjadi seorang fasilitator. Peserta telah didedahkan dengan konsep sebenar fasilitator mengikut tafsiran PKPIM. Peserta juga diberikan penerangan tentang perjalanan sesebuah program motivasi dan bagaimana seorang fasilitator itu dapat memainkan peranannya dengan berkesan. Peserta juga kemudiannya diuji dengan aktiviti 'role-play' bagi memastikan peserta dapat merasai realiti sebenar menjadi seorang fasilitator. Sesi kursus ini diakhiri dengan latihan menganjurkan sesebuah program yang meliputi perancangan teknikal pengurusan serta pengisian yang sesuai dengan program.

KUFI 2005 juga menekankan aspek kekuatan kerohanian di kalangan peserta. Justeru, IKATAN telah menekankan solat jemaah dan amalan berdoa dalam kursus pada kali ini.
Hal ini sangat penting supaya fasilitator yang dilatih ini akan mempunyai kekuatan rohani yang mantap sebagai bekalan mereka apabila turun ke masyarakat nanti.

Semasa sesi penutup, Sdr. Muhammad Hisyamudin yang merupakan YDP IKATAN telah
mengucapkan penghargaan kepada peserta yang hadir ke KUFI 2005. Sdr. Hisyam kemudiannya menyeru semua peserta KUFI 2005 supaya terus bersama-sama IKATAN sebagai fasilitator kerana IKATAN sering diundang untuk menganjurkanprogram-program motivasi di sekolah-sekolah mahupun program yang dianjurkan oleh IKATAN sendiri.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home