Tuesday, August 02, 2005

Usrah Gabungan Siri 1

Pada 9 April 2005 yang lalu, IKATAN telah menganjurkan Usrah Gabungan Siri 1 untuk sesi 2005 ini bertempat di Sekretariat IKATAN. Usrah Gabungan (UG) merupakan siri-siri pertemuan semua ahli IKATAN dengan pengisian tarbiyah yang disediakan. Sesungguhnya, program seumpama ini adalah sangat penting kepada ahli-ahli IKATAN sebagai memastikan pengisian tarbiyah dan kerohanian dapat disediakan untuk kebaikan dan manafaat ahli-ahli.

Pada UG1 yang lalu, IKATAN telah menjemput Ybhg Ustaz Azhar bin Muhammad. Ustaz Azhar merupakan mantan exco Dakwah dan Tarbiyah ABIM Pahang dan sekarang bertugas sebagai pensyarah di IKIP Kuantan. Dalam UG1 ini, ustaz Azhar telah membentangkan tajuk "Kepentingan Tarbiyah Dalam Gerakan Islam". Tajuk ini sangat sesuai dikupas dalam UG disebabkan pemahaman asas kepada gerak kerja menyebarkan agama Islam harus berpaksikan tarbiyah sangat ditekankan dalam IKATAN itu sendiri.

Dalam pembentangannya, ustaz Azhar antara lain menyebutkan bahawa realiti dan cabaran yang dihadapi umat Islam sekarang adalah sangat berat dan memerlukan pertahanan rapi. Cabaran yang dilihat ke atas struktur sosial masyarakat telah menyebabkan semacam budaya baru telah meresap dalam anggota masyarakat khususnya anak-anak muda. Mereka lebih selesa mengambil model dunia barat sebagai panduan mereka. Cara hidup berhibur yang keterlaluan menjadikan anak muda terus hanyut dalam dunia keseronokan dan sedikit sebanyak melupakan tanggung jawab mereka kepada agama.

Cabaran yang besar turut dihadapi dalam aspek pemikiran Islam. Pelbagai aliran pemikiran yang sudah mula meresap dan berakar umbi dalam masyarkat adalah sangat membimbangkan. Aliran pemikiran Islam Liberal, ajaran sesat, gerakan feminisme dan lain-lain telah mewujudkan suasana baru terhadap pemahaman masyarakat terhadap agama Islam. Sudah tentulah, pemikiran yang menjurus kepada ajaran agama yang longgar menjadi pilihan orang kebanyakkan.

UG1 ini telah memberikan sedikit gambaran yang sangat berguna kepada ahli-ahli IKATAN yang hadir. Perbincangan selanjutnya berkisar di sekitar isu-isu semasa khususnya aliran pemikiran Islam liberal. Ustaz menegaskan bahawa pemikiran Islam liberal adalah serius dan membawa kesan buruk yang tersendiri. ajaran yang dianggap sebagai Islam tanpa syariat dan cuba menyama ratakan semua agama ini perlu diberikan perhatian supaya tidak menular dalam pemikiran generasi muda.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home